Friday, 22 March 2013

Apabila pintu tawakal aku diketuk.


" (Dialah) Tuhan timur dan barat, tidak ada tuhan selain Dia, maka jadikanlah Dia sebagai pelindung"
( Al-Muzammil: 9)

Sayu dan sedih aku rasakan apabila hati tak sekuat tangan yang menaip dan diri yang membaca tafsiran ayat di atas. Bertambah sayu aku rasakan apabila setiap malam wujud sedikit getaran di hati apabila terpaksa berada di bilik sendirian. Ini semua kerana kes kecurian yang kerap berlaku di kawasan aku.

Sungguh, tahap tawakal aku sedang diuji.

Giat aku berkongsi ayat berkenaan pentingnya pergantungan kita kepada Allah, tiada yang lain.
Tetapi apabila ujian Allah melanda, aku goyah.

Aku lebih takut kepada pencuri.
Aku lebih takut jika dipukau.
Aku lebih takut jika aku terserempak dan diapa-apakan.
Aku lebih takut jika dia berjaya menceroboh rumahku walaupun rumahku ditingkat paling atas.
Aku lebih takut jika sebelum tidur aku terdengar bunyian di atas sutuh (tempat tangki air) .

" Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar, " [2:155]

Tetapi aku dan imanku lupa, semuanya tak akan terjadi jika Dia tidak menghendaki.
Semuanya mustahil jika Dia tidak membenarkan.
Semuanya Dia yang tentukan.
Semuanya Dia yang menjaga.
Semuanya Dia yang mengatur.

Di saat aku tidur, macam-macam perkara boleh terjadi.
Aku terlupa Dia tidak pernah tidur dan tidak pernah mengabaikan hambaNya.

Kenapa aku harus takut?

Sungguh, tahap tawakal aku sedang diuji.

Istighfarlah berkali-kali wahai diri. Jika imanmu senipis kulit bawang tidak dijaga rapi, ia boleh koyak dek perkaraperkara yang remeh.

Sungguh, tawakal hanya pada Dia itu penting. Pentingnya iman untuk membenarkan tawakal itu. Selamatkan kami ya Rabb. Sejahterakanlah akidah dan iman kami.

" Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman kerana mereka adalah orang-orang yang bertakwa"
[41:18]





No comments:

Post a Comment